Di Spotify, kami ingin mencipta pengalaman hebat dan unik untuk setiap pengguna. Matlamat kami adalah untuk menghubungkan semua orang dengan perkara yang disukai oleh mereka dan membantu mereka menemukan sesuatu yang baharu. Semua pendengar berbeza cita rasa, jadi pengalaman mereka, dan senarai cadangan kami, semuanya diperibadikan. Apabila ditanya tentang perkara yang disukai oleh mereka tentang Spotify, kebanyakan pendengar menyenaraikan pemeribadian kami sebagai ciri teratas mereka. Anda mungkin tertanya-tanya tentang cara kami menjana cadangan ini merentas suapan Utama, playlist, hasil carian atau bahagian perkhidmatan lain, oleh itu kami ingin menjelaskan cara cadangan ini berfungsi.
Di Spotify, manusia dan teknologi bekerjasama untuk menyampaikan cadangan yang relevan. Beberapa cadangan adalah berdasarkan penyusunan editorial, seperti playlist pop yang dicipta oleh editor muzik. Cadangan lain disesuaikan berdasarkan cita rasa unik setiap pendengar, seperti playlist yang diperibadikan yang dikuasakan oleh algoritma rekaan pakar kami.
Kami percaya bahawa cadangan tidak sepatutnya dioptimumkan untuk klikan butang seterusnya sahaja, tetapi berkembang mengikut cita rasa anda. Kami mempunyai pasukan khusus yang bersedia untuk memastikan bahawa cadangan anda mendayakan penglibatan sebenar dan mewujudkan hubungan yang bermakna. Kami sentiasa berusaha untuk menambah baik sistem cadangan kami untuk memastikan bahawa kami menampilkan kandungan yang relevan dan menyeronokkan kepada anda.
Editor di Spotify menggunakan cerapan data, telinga yang tajam, dan pemahaman tentang trend budaya untuk meletakkan kandungan di tempat yang berkemungkinan dapat menyentuh hati peminat di seluruh dunia. Mereka menggunakan penyusunan playlist yang difikirkan dengan teliti, untuk mengesyorkan kandungan di Spotify seperti dalam playlist editorial. Di seluruh dunia, editor di Spotify mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang muzik dan budaya tempatan, yang membenarkan mereka untuk membuat keputusan pengaturcaraan mereka agar pendengar mendapat pengalaman terbaik.
Spotify menawarkan cadangan algoritma yang relevan, unik, dan spesifik untuk setiap pengguna. Algoritma kami memilih dan menampilkan kandungan kepada setiap pendengar merentas Spotify, termasuk dalam Carian, Laman Utama dan playlist yang diperibadikan.
Untuk membuat cadangan ini, algoritma kami bergantung pada beberapa input. Kepentingan input ini mungkin berbeza-beza dari semasa ke semasa, bergantung pada penggunaan individu anda di Spotify. Kami percaya bahawa profil cita rasa anda ialah input yang paling penting untuk mencipta pengalaman pengguna yang terbaik secara keseluruhan. Di bawah, anda akan menemukan butiran lanjut tentang input yang paling penting dan cara input ini berfungsi.
Semasa anda berinteraksi dengan Spotify, tindakan seperti mencari, mendengar, melangkau atau menyimpan pada Pustaka Anda, mempengaruhi tafsiran kami terhadap cita rasa anda. Kami namakan ini sebagai "profil cita rasa" anda, dan hal ini memberikan petunjuk kepada algoritma kami tentang perkara yang anda minati dan cara mendengar kesukaan anda.
Algoritma kami mempertimbangkan trend dan cita rasa umum serta tingkah laku pengguna bagi meningkatkan cadangan untuk semua orang. Apabila pengguna mengambil tindakan yang serupa pada kandungan tertentu, algoritma kami mempunyai lebih banyak maklumat tentang cara orang ramai ingin berinteraksi dengan kandungan itu.
Algoritma kami mengambil kira ciri kandungan itu sendiri, seperti genre, tarikh keluaran, kategori podcast, dsb. Hal ini membolehkan kami untuk mengenal pasti kandungan yang mempunyai ciri yang serupa dan mungkin akan dinikmati oleh pendengar yang serupa.
Sebagai sebuah platform, kami menilai impak kami terhadap pencipta, pendengar dan komuniti. Spotify berusaha untuk memastikan bahawa langkah dan proses keselamatan berfungsi dengan baik, termasuk langkah berjaga-jaga untuk mencegah pendedahan kepada kandungan berbahaya. Kami mengambil serius akan tanggungjawab algoritma dan bekerjasama dengan dasar, produk dan pasukan penyelidikan, serta berunding dengan pakar luar seperti Spotify Safety Advisory Council.
Peraturan Platform Spotify terpakai pada semua kandungan di platform, termasuk kandungan yang disyorkan. Peraturan-peraturan ini dibangunkan oleh pasukan dalaman dengan input daripada pelbagai pakar luar. Apabila kami menyedari terdapat kandungan yang mungkin melanggar peraturan, kandungan itu akan disemak menurut dasar kami, dan tindakan yang sewajarnya akan diambil. Sebagai contoh, tindakan ini termasuk menyekat kandungan yang melanggar peraturan daripada disyorkan.
Cadangan anda akan sentiasa dipengaruhi oleh penglibatan anda dengan kandungan di Spotify. Lebih kerap anda mendengar kandungan yang anda suka, dan lebih kerap anda berinteraksi dengan aplikasi, lebih kerap kami rasa anda akan menikmati cadangan anda.
Kami juga menawarkan cara untuk anda mempengaruhi dan memberikan maklum balas tentang perkara yang ditampilkan dalam cadangan anda, serta kurang melihat sesuatu perkara yang khusus. Beberapa contoh disenaraikan di bawah:
Dalam sesetengah kes, anda juga boleh menyusun dan menapis cadangan anda berdasarkan perkara yang paling ingin anda lihat. Sebagai contoh, anda boleh menapis halaman Utama anda untuk melihat podcast sahaja atau melihat muzik sahaja.
Spotify mengutamakan kepuasan pendengar semasa mengesyorkan kandungan. Dalam sesetengah kes, pertimbangan komersial, seperti kos kandungan atau sama ada kami boleh mengewangkan kandungan atau tidak, boleh mempengaruhi cadangan kami. Sebagai contoh, Discovery Mode memberikan peluang kepada artis dan label untuk mengenal pasti lagu yang merupakan keutamaan untuk mereka, dan sistem kami akan menambahkan isyarat tersebut pada algoritma yang menentukan kandungan sesi pendengaran yang diperibadikan. Apabila artis atau label menghidupkan Discovery Mode bagi sesebuah lagu, Spotify mengenakan caj komisen pada strim lagu tersebut di kawasan platform yang Discovery Mode aktif (Discovery Mode tidak aktif dalam playlist editorial kami). Isyarat ini meningkatkan kemungkinan lagu yang dipilih untuk dicadangkan, tetapi tiada jaminan dapat diberikan. Kami hanya mengesyorkan lagu yang berkemungkinan tinggi akan dinikmati oleh pendengar. Sama seperti cadangan lain, kami mengambil maklum apabila pendengar tidak berminat dengan sesebuah lagu — termasuk lagu dalam Discovery Mode — dan mempertimbangkan perkara ini semasa menentukan lagu yang akan dicadangkan pada masa hadapan.