Pusat Keselamatan & Privasi

Integriti Pilihan Raya di Spotify

Spotify ialah tempat untuk menemui pencipta kegemaran baharu anda, menemukan lagu baharu daripada artis kegemaran anda atau membuka kunci buku audio yang memperkenalkan dunia baharu kepada anda. Walaupun sebahagian besar kandungan di platform kami adalah berlesen, kami bersikap realistik dan berwaspada terhadap jenis kandungan yang boleh tersebar semasa peristiwa sensitif seperti pilihan raya. Kami merupakan platform untuk ekspresi kreatif dan akan sentiasa menawarkan pelbagai jenis kandungan, namun itu tidak bermakna semua jenis kandungan boleh diterima.

Perlindungan platform kami semasa peristiwa global yang kritikal ialah keutamaan kami yang paling tinggi dan kami telah menghabiskan masa bertahun-tahun untuk membangunkan serta memperhalus pendekatan kami. Pilihan raya ialah waktu yang sangat sensitif dalam talian serta di luar talian dan fokus utama kami adalah untuk mengurangkan risiko pada setiap masa, membolehkan pendengar, pencipta dan pengiklan kami menikmati produk kami.

Untuk memahami jenis bahaya yang mungkin berlaku semasa pilihan raya sebuah negara, kami mempertimbangkan pelbagai penunjuk, termasuk kehadiran Spotify di pasaran, kebiasaan sejarah untuk bahaya semasa tempoh pilihan raya serta faktor geopolitik baharu yang mungkin meningkatkan risiko di platform. Kami juga melihat faktor yang terutamanya berkaitan dengan platform Spotify, contohnya, negara tertentu tempat kandungan audio mungkin menimbulkan kebimbangan.

Kami memantau faktor ini secara berterusan dan menggunakan dapatan kami untuk memaklumkan keputusan dasar dan garis panduan penguatkuasaan, menyesuaikan campur tangan dalam produk, serta menentukan kawasan tempat kami mungkin melihat manfaat daripada sumber tambahan dan/atau input pihak ketiga. Apa-apa pun, fokus utama kami adalah untuk mengurangkan risiko pada setiap masa, membolehkan pendengar, pencipta dan pengiklan kami menikmati produk kami.

Peraturan Platform

Walaupun perbincangan berkaitan politik atau berita dialu-alukan di Spotify, kami melaksanakan Peraturan Platform untuk menetapkan parameter bagi jenis kandungan yang dibenarkan dan yang dilarang. Peraturan ini terpakai untuk semua orang di platform Spotify dan apabila dilanggar, kami sentiasa akan mengambil tindakan.

Peraturan Platform kami menyatakan dengan jelas bahawa percubaan untuk memanipulasi atau mengganggu proses berkaitan pilihan raya adalah dilarang. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, membuat pernyataan salah tentang prosedur dalam proses sivik yang mungkin mengurangkan atau menghalang penglibatan serta kandungan mengelirukan yang bertujuan untuk menakutkan atau menghalang pengundi daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Perkongsian Pakar

Risiko dan skop pilihan raya berbeza-beza di seluruh dunia dan jenis trend berbahaya yang timbul semasa peristiwa berisiko sedemikian biasanya bernuansa dan hipersetempat. Untuk melengkapi kepakaran dan keupayaan pengesanan global kami, Spotify telah memperoleh Kinzen pada tahun 2022. Ini telah membolehkan kami menjalankan penyelidikan berterusan yang mendalam dalam berbilang bahasa dan bidang dasar utama seperti maklumat salah dan ucapan berunsur kebencian. Penyelidikan kami disokong oleh alat perintis yang dipanggil 'Spotlight,' yang direka khas untuk mengenal pasti risiko yang berpotensi dalam kandungan audio bentuk panjang seperti podcast dengan cepat.

Selain itu, kami bekerjasama rapat bersama pakar tentang jenis bahaya yang tertentu yang biasa timbul semasa pilihan raya, seperti maklumat salah, ucapan berunsur kebencian dan faham pelampau ganas. Ini termasuk Spotify Safety Advisory Council global kami dan Institute for Strategic Dialogue untuk memastikan kami mengikuti perkembangan trend terkini dan taktik pengurangan risiko.

Sumber Dalam Produk

Kami juga menggalakkan penglibatan sivik dan komuniti neutral semasa pilihan raya utama. Fokus usaha ini adalah untuk menghubungkan pendengar dengan maklumat tempatan yang boleh dipercayai semasa tempoh pilihan raya. Kami memanfaatkan gabungan pilih susun algoritma dan manusia untuk mengenal pasti kandungan yang melanggar garis panduan kami dan mungkin mengemas kini cadangan kami untuk mencegah maklumat yang mungkin dimanipulasi atau berbahaya.

Dalam sesetengah keadaan, kami juga berkongsi maklumat yang dipercayai tentang pengundian sebagai sebahagian daripada kempen penglibatan sivik neutral yang kami siarkan di platform, menggalakkan pengguna kami mengundi, tanpa mengira hubungan politik mereka. Semasa kempen sedemikian, pasukan global dan dalam pasaran kami bekerjasama bagi membuat kandungan tempatan yang berkaitan dan tepat pada masanya yang mempunyai fokus untuk mengatasi halangan mengundi dengan, sebagai contoh, menerangkan cara mendaftar dan tempat mengundi anda.

Sejak kami memulakan usaha kami, kempen sedemikian telah mendorong jutaan lawatan kepada sumber tentang penglibatan sivik, membantu pengguna menyemak status pengundi mereka, mendaftar untuk mengundi atau mengetahui lebih lanjut tentang pilihan raya tempatan mereka.

Iklan Politik

Pada masa ini, Spotify menerima iklan politik pada podcast pihak ketiga tertentu melalui Spotify Audience Network di pasaran terhad, termasuk Amerika Syarikat dan India.

Iklan politik boleh diletakkan dalam Spotify Audience Network serta inventori perkhidmatan disokong iklan Spotify yang percuma. Akaun mestilah layak menyiarkan iklan politik dan pemegang akaun perlu melengkapkan proses pengesahan identiti pengiklan. Iklan politik tidak tersedia untuk dibeli melalui alat layan diri kami, Spotify Ad Studio.

Selain itu, kami menghendaki iklan politik agar mendedahkan penggunaan apa-apa media sintetik atau dimanipulasi dengan jelas, termasuk media yang dibuat atau diedit dengan penggunaan alat Kecerdasan Buatan yang menggambarkan orang atau peristiwa sebenar atau realistik. Pendedahan ini mestilah disertakan dalam iklan dan dipaparkan dengan jelas dan menonjol.

Untuk membaca lebih lanjut tentang iklan politik di pasaran iklan sedemikian ditawarkan dan belajar cara melaporkan iklan yang anda percaya melanggar dasar kami, sila semak dasar editorial pengiklanan politik Spotify.